Monday, June 8, 2009

Dilema Ekonomi Melayu - Utusan Malaysia.

Hari ini orang Melayu juga mengalami dilema ekonomi. Walaupun mulai 1970-an kerajaan telah melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB), dan kemudiannya Dasar Pembangunan Nasional (DPN), ekonomi orang Melayu masih tercorot dan amat ketinggalan.

Malangnya, segolongan bukan Melayu asyik mengecam dan mengkritik kerajaan, kononnya kerajaan tidak bersikap adil bila memberikan keistimewaan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Ada segolongan bukan Melayu juga mendesak agar kuota pemilikan saham Melayu sebanyak 30 peratus dimansuhkan.

Segolongan bukan Melayu juga mendesak supaya kuota biasiswa untuk pelajar bukan Melayu mesti ditambah. Kata mereka, orang Melayu wajar berlumba-lumba dalam hal pendidikan dan ekonomi negara menerusi sistem meritokrasi, iaitu sistem siapa hebat dia yang dapat, sistem siapa yang kuat, dia dapat semuanya. Kalau sistem ini dilaksanakan, orang Melayu akan terpinggir dan akhirnya lesap daripada bumi tercinta ini.

Dalam hal ini, sekali lagi saya ulangi, suara-suara yang mengungkit-ungkit keistimewaan Melayu pada hari ini adalah suara orang yang sudah dapat betis, mahukan paha. Ini suara orang tamak dan haloba, tidak menghargai kedudukan orang Melayu dan Bumiputera yang mundur akibat penjajahan British. Kepada kelompok ini, fahamilah maksud perangkaan atau statistik di bawah.

Akibat dasar British membawa masuk orang asing ke Tanah Melayu tanpa sebarang kawalan, banci penduduk Tanah Melayu pada tahun 1931 mendapati jumlah orang asing ketika itu mengatasi pribumi di Tanah Melayu.

Pada tahun 1932-1933 ada kemelesetan ekonomi dunia. Orang asing pun ramai yang balik ke negara asal mereka. Biarpun begitu, banci penduduk Tanah Melayu pada 1947, pun masih mendapati orang asing mengatasi pribumi. Selepas Perang Dunia Kedua pada 1945, bancian penduduk Tanah Melayu, termasuk Singapura, mendapati daripada 5.7 juta penduduk ketika itu, orang Melayu dan Bumiputera hanya 2.5 juta orang, bukan Melayu seramai 3.2 juta orang (Cheah Boon Kheng 2007).

Perkembangan kependudukan seperti ini menyebabkan jumlah orang asing berbanding orang Melayu dan Bumiputera pada 1957 adalah hampir seimbang. Daripada keseluruhan rakyat Tanah Melayu ketika itu, 3.12 juta adalah orang Melayu dan Bumiputera. Orang Cina seramai 2.33 juta, India 690,000 dan 120,000 daripada lain-lain etnik (Federation of Malaya Year Book 1959).

Biarpun begitu, daripada segi ekonominya, keturunan Cina pada 1957 telah menguasai ekonomi negara secara kukuh sementara orang Melayu masih dalam kemiskinan. Contohnya, sejak 1937, pelaburan orang Cina di Tanah Melayu sudah pun menjangkau AS$200 juta berbanding pelaburan asing lainnya sejumlah AS$454.5 juta (Ling Liong Sik 1995:3).

Pada tahun 1950-an, syarikat-syarikat Eropah menguasai 65 peratus hingga 75 peratus perdagangan eksport dan 60 peratus hingga 70 peratus perdagangan import. Syarikat-syarikat milik orang Cina ketika itu menguasai 10 peratus agensi eksport. Syarikat-syarikat etnik India pula menguasai dua peratus perdagangan berkenaan. Pada ketika itu, orang Melayu langsung tidak memiliki sebarang ekuiti dalam mana-mana perdagangan. (Gomez & Jomo, 1997:14-15).

Pada tahun 2008, penduduk Malaysia adalah 25.056 juta. Melayu 13.667 juta, Bumiputera 2.963 juta, etnik Cina 6.256 juta, etnik India 1.880 juta, lain-lain etnik 290,000 dan bukan rakyat 2.826 juta (Unit Perancang Ekonomi:2008).

Bagaimanapun, pemilikan modal saham pada 2008 adalah RM100 bilion atau 18.9 peratus sahaja di tangan Bumiputera, RM215 bilion atau 40.6 peratus dikuasai oleh bukan Bumiputera, RM42.3 bilion atau 8 peratus dikuasai oleh syarikat nomini, dan RM172.3 bilion atau 32.5 peratus dipegang oleh pemodal asing.

Ekuiti Bumiputera sebanyak RM100 bilion pada tahun 2008 terbahagi kepada RM79.4 bilion atau 15 peratus milik individu, RM11.9 bilion atau 2.2 peratus milik institusi, dan RM8.7 bilion atau 1.7 peratus milik agensi amanah. Ekuiti milik bukan Bumiputera, RM207 bilion atau 39 peratus dikuasai oleh etnik Cina, RM6.4 bilion atau 1.2 peratus dalam tangan etnik India, dan RM1.9 bilion atau 0.4 peratus kepunyaan lain-lain kaum. (The Star: 27.6.2008).

Statistik di atas membuktikan jumlah penduduk Melayu dan Bumiputera berbanding lain-lain etnik yang hampir seimbang sewaktu kemerdekaan tanah air, meningkat secara prominen pada 2008. Tetapi, kenyataan mengenai kemiskinan serta lain-lain petunjuk ekonomi di era sebelum merdeka adalah manifestasi dan dampak dasar pecah dan perintah penjajah British yang memihak kepada bukan Bumiputera dan menindas orang Melayu dan Bumiputera.

Petunjuk ekonomi di era sesudah merdeka, seperti pada tahun 2008, adalah realiti dan manifestasi bahawa sehingga hari ini, orang Melayu dan Bumiputera adalah golongan rakyat Malaysia yang jauh ketinggalan berbanding bukan Bumiputera dan berbanding kedudukan pemodal asing di negara ini.

Hakikat ini jadi lebih ketara jika dikaji lain-lain petunjuk sosio-ekonomi seperti pendapatan isi rumah, kadar kemiskinan relatif dan kemiskinan tegar, jumlah profesional Melayu dan Bumiputera dan sebagainya. Dikaji ikut perspektif mana sekalipun, adalah jelas Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) terbukti belum berjaya mengatasi jurang perbezaan ekonomi dan kadar kemiskinan antara orang Melayu dan Bumiputera dengan bukan Bumiputera di Malaysia.

Oleh sebab itu, apakah asas yang menghalalkan segolongan orang bukan Melayu untuk mempersoalkan DEB, DPN, keistimewaan orang Melayu, biasiswa untuk Bumiputera dan segala-gala dasar yang disifatkan memihak kepada orang Melayu dan Bumiputera kebelakangan ini?

Apakah alasan kerajaan melayan desakan demi desakan, termasuklah dalam bidang pelajaran rendah, pelajaran menengah dan pendidikan tinggi, daripada sesetengah kelompok bukan Melayu pada hari ini?

Kepada golongan ini, ingatlah bahawa di era penjajah, hanya 10 peratus sahaja anak Melayu masuk universiti. Bakinya yang 90 peratus semuanya dibolot oleh bukan Melayu.

Dalam hal dilema ekonomi ini, saya juga merayu semoga kerajaan tidak akan berkompromi dan tidak akan tunduk kepada tuntutan keterlaluan oleh sesetengah kelompok bukan Melayu.

Saya juga menyeru segolongan pegawai Melayu yang selama ini kononnya kurang sensitif terhadap kemajuan orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang ekonomi, supaya insaf dan ubah sikap untuk membantu Melayu dan Bumiputera dengan lebih ikhlas dan dedikasi.

Kepada seluruh pegawai dan profesional Melayu dalam bidang korporat dan syarikat milik kerajaan (GLC), saya menyeru, fikirkanlah masa depan orang Melayu dan Bumiputera dalam ekonomi dan perniagaan.

Janganlah bila sudah dapat tempat tinggi-tinggi, kelompok pegawai dan profesional Melayu ini jadi seperti kacang yang lupakan kulit. Jangan di pandang hina usahawan dan peniaga Melayu dan Bumiputera.

Ingatlah bahawa tanpa perjuangan Melayu terdahulu, para profesional Melayu dalam GLC dan mereka yang berada dalam sektor awam dan sektor korporat pada hari ini, belum pasti dapat menikmati kedudukan yang mereka nikmati sekarang.

Seluruh pegawai Melayu dalam sektor kerajaan dan GLC sewajarnya memberikan peluang perniagaan kepada orang Melayu dan Bumiputera. Jangan tergamak sesetengah pegawai menafikan peluang perniagaan yang sepatutnya diberikan kepada usahawan dan peniaga Melayu serta Bumiputera.

Badan-badan korporat dan GLC Melayu perlu turut memainkan tanggungjawab sosial kepada NGO dan pertubuhan Melayu yang mendukung perjuangan untuk memperkasakan aspirasi Melayu dan Bumiputera.

Mereka perlu mempunyai keutamaan dan fokus yang tepat dan betul mengenai perkara ini. Janganlah kalau untuk hiburan yang melekakan, mereka sanggup menderma hingga berjuta-juta ringgit jumlahnya. Janganlah pula untuk menggerak serta memperkasakan perjuangan Melayu dan Bumiputera, mereka sentiasa berdolak-dalik untuk membantu perjuangan ini.

Saya sangat berharap, semoga golongan pegawai-pegawai Melayu dan eksekutif Melayu dalam syarikat korporat dan GLC, tidak akan tergamak untuk mengkhianati aspirasi perjuangan Melayu. Jangan digadaikan masa depan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini di masa akan datang.

Demikianlah penegasan semula saya mengenai perjuangan orang Melayu dan Bumiputera pada hari ini. Penegasan semula ini saya lahirkan semata-mata kerana saya tidak rela orang Melayu dan Bumiputera terus dilanda dilema politik dan dilema ekonomi di tanah airnya sendiri.

Penegasan semula aspirasi perjuangan ini saya lakukan kerana saya tidak reda dagang lalu ditanakkan, anak di rumah mati kebuluran. Penegasan semula aspirasi perjuangan bangsa ini saya lafazkan kerana saya mahukan majoriti orang Melayu dan Bumiputera kembali memberikan sokongan serta keyakinan mereka kepada pemerintah.

Penegasan semula aspirasi perjuangan Melayu ini juga saya lahirkan supaya pihak pemerintah juga sentiasa mempertahankan seluruh hak dan keistimewaan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan yang termaktub dalam seluruh dasar afirmatif kerajaan.

Marilah sama-sama kita memohon restu dan hidayat daripada Allah SWT semoga usaha kita melakukan penegasan semula aspirasi perjuangan ini akan menghasilkan tindakan yang positif oleh semua pihak, rakyat jelata daripada semua keturunan, pemerintah, pemimpin politik, pemimpin masyarakat sivil, para pegawai kerajaan, pemimpin korporat dan para pendukung GLC di Malaysia.

Datuk Ibrahim Ali ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia.

1 comment:

  1. orang melayu masih perlu bergantung kepada umno yang banyak membantu dan membela selama ini

    ReplyDelete