Daku kini menetap di Melaka sejak tahun 2000. Sebelum itu daku tinggal di Kuala Lumpur selama 18 tahun. Kali ini daku nak buat sedikit komentar terhadap negeri Melaka Bandaraya Bersejarah ini. Daku tengok pembangunan di Melaka ini semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Pembangunan ini selaras dengan agenda atau objektif untuk di jadikan sebagai negeri maju pada tahun 2010. Daku menyambut baik hasrat kepimpinan negeri ini tetapi bagi daku pembangunan yang drastik tidak bererti rakyatnya juga menerima arus pembangunan tersebut.
Daku lihat dalam konteks ‘local’ masih banyak lagi pembangunan selain pembanguan fizikal yang kini kita nampak di Melaka perlu di ambil kira. Daku tidak tahu bagaimana perbelanjaan negeri di belanja kan? Daku lihat masih ada lagi rakyat di Melaka ini yang dikategorikan susah. Daku tidak mahu melabelkan mereka miskin kerana saya percaya kepimpinan di Melaka sudah memberi kenyataan bahawa rakyat miskin sudah berkurangan. Tetapi daku lihat kesusahan itu dari aspek yang lain. Kesusahan itu juga bukan bermaksud kemiskinan wang ringgit atau harta benda.
Apa yang daku maksudkan ialah, kesusahan rakyat untuk berjumpa dengan wakil rakyat yang dipilih untuk bekerja dengan mereka. Daku faham ada sesetengah wakil rakyat sentiasa sibuk dengan pelbagai program mereka lebih-lebih lagi yang sudah memegang jawatan berstatus Exco. Kenapa ini terjadi? Adakah wakil rakyat tidak perasan atau lupa dengan tanggungjawab mereka? Terus terang daku cakap bahawa daku anti kepada wakil rakyat yang berperangai sebegini rupa. Tak kiralah dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Rakyat menilai semua tingkah laku wakil rakyat ini dan jangan lupa rakyat juga berhak menolak wakil rakyat tersebut dan parti yang di dokong oleh wakil rakyat itu sendiri. Percayalah, rakyat semakin susah untuk bertemu dengan wakil rakyat. Rakyat tidak pernah membenci wakil rakyat tetapi wakil rakyat sendiri yang membentuk atmosfera sebegini.
Wakil rakyat tidak boleh berada di dalam keadaan selasa kini. Setiap wakil rakyat perlu mencari mekanisma untuk merapatkan apa yang telah jauh dan menjernihkan apa yang telah keruh. Wakil rakyat perlu menganjurkan dialog bersama-sama rakyat. Jemput semua rakyat di kawasan DUN tanpa melihat latar belakang politik mereka. Panggil semua PBT dan agensi kerajaan untuk bersama-sama dalam dialog ini. Panggil DUN dan juga ahli Parlimen. Bukan hantar wakil atau setiausaha untuk menjawab semua persoalan yang akan timbul kelak. Daku percaya melalui kaedah ini, sekurang-kurangnya rakyat akan tahu bahawa wakil rakyat mereka prihatin tentang masalah mereka.
Bukan daku menafikan segala kerja wakil rakyat tetapi hanya mencadangkan agar ianya menjadi lebih baik dan boleh di terima rakyat.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment